Showing posts with label perwira. Show all posts
Showing posts with label perwira. Show all posts

Sunday, December 12, 2010

Yok Cuti...


Salam kepada semua,
Iskh, lama betul saya tak update blog. Tak bole nak bagi reason apa dah, hehe... Sekarang ni, student UTHM sedang mula bercuti dan pulang ke kampung masing-masing. Ada juga student yang tidak akan balik ke Kolej saya semula kerana sudah menghabiskan pengajian. Cuti yang diberikan amat singkat tp saya rasa cukuplah sekadar dapat melepaskan rindu bersama keluarga tercinta. Ada student yang ckp dgn saya, "Mama saya dah tunggu saya dah Puan, siap masak lagi untuk saya"... saya senyum ja tgk keterujaan student tersebut. Ada juga pelajar yang tak teruja, katanya boring pasal takde kawan bila balik kampung. Dkt sini dia banyak kawan. Hehehe.. mcm-mcm karenah. Bagi International Student pula, bila time semester break, mereka akan ke Kuala Lumpur atau Johor Bahru. Kesempatan ini digunakan untuk bersama rakan-rakan dari Universiti yang lain. Ada juga yg mengadu kpd saya yang mereka Homesick tp tak boleh nak balik pasal cuti sangat singkat dan tambang kapal terbang pula mahal. Sian pulak kat student international ni.
Apa pun, cuti yang singkat ini seharusnya digunakan sepenuhnya oleh pelajar. Sama ada untuk rehatkan minda setelah bergelut dengan final exam ataupun meluangkan masa bersama keluarga. Kesihatan dan keselamatan diri juga harus dijaga kerana bermacam-macam benda boleh terjadi jika kita ambil sambil lewa mengenainya. Pernah student saya meninggal dunia setelah pulang ke kampung kerana sakit. Naik cuti ja, saya terus dimaklumkan mengenai perkara tersebut oleh ahli keluarga beliau. Innallillah... Ada juga pelajar yang kemalangan ketika di dalam perjalanan ke Kolej setelah habis cuti study week. Akibat kecuaian pemandu teksi tersebut, pelajar itu terpaksa extend satu semester kerana mengalami gegaran otak akibat perlanggaran teksi tersebut dengan lori. Kita mmg merancang tp ALLAH swt yang akan menentukannya. Tetapi tidak salah jika kita ambil sedikit langkah berjaga-jaga.
Kepada semua pelajar Kolej Kediaman Perwira, selamat bercuti dan selamat sampai ke kampung masing-masing. Tidak lupa juga, selamat mendaftar semula pada 1 Januari 2011 nanti. Be Good and always remember, SAFETY FIRST in whatever things that you do.

Wednesday, August 25, 2010

Majlis Berbuka Bersama Dato' NC





Setiap kali tiba bulan Ramadhan, setiap kolej kediaman di UTHM akan menganjurkan majlis berbuka puasa bersama Dato' NC. Tahun ini, adalah kali yg ketiga saya dan staf mengendalikan majlis berbuka puasa ini. Pastinya setiap kolej kediaman mahukan menu yg terbaik untuk para pelajar dan pegawai2 kanan UTHM yang akan bertandang ke kolej masing2. Bagi saya, apa yang penting, makanan tersebut takkan buat pelajar dan para tetamu sakit perut. hehehe... Menu untuk pelajar kali ini ialah ayam masak kurma, sayur kobis goreng, sambal belacan, buah oren, karipap, kuih tako dan air kotak. Pelajar juga diberikan sekotak buah kurma dan sebotol besar air mineral water. Manakala untuk VVIP pula, nasi beriani ayam dan kambing menjadi hidangan serta juadah yang lain. Kami juga memberikan 'berkat' kepada VVIP iaitu beg kecil berisi Yaasin dan muffin.
Tetapi kali ini, apa yang menjadi kerisauan saya ialah hujan. Sejak kebelakangan ini, cuaca di Parit Raja agak tidak menentu. Pada paginya panas terik, tetapi bila lewat petang saja, pasti hujan dan kadang kala dengan ributnya sekali. Saya berdoa agar tidak hujan pada hari majlis. Ini kerana, pelajar akan duduk ditikar kerana kami akan makan didalam dulang. Tapi apakan daya, kita hanya merancang, ALLAH swt yg menentukan. Pada pagi majlis tersebut, langit mendung sekali. Gelap je.. Hati saya dah risau dah.. betul, hujan turun mencurah-curah tetapi tidak lebat. Apabila tiba majlis, hujan hanya gerimis sahaja. Alhamdulillah... Lebih penting lagi ialah majlis tersebut berjalan dengan lancar dan ada sedikit pujian diberikan kepada kolej kami.
Apa yang menariknya, pelajar Non-Muslim juga turut berbuka sama dan makan di dalam dulang bersama-sama pelajar Muslim yang lain.

Friday, May 28, 2010

Kursus Induksi Umum 2010

Selesai sudah kursus Induksi Umum / Khusus untuk pegawai sokongan A&B. Bermula dari 17 hingga 27 Mei 2010. Kursus ini harus dilalui oleh semua kakitangan awam untuk disahkan jawatan, sekaligus akan diberikan pilihan sama ada kita mahu memilih skim pencen ataupun KWSP. Sepanjang 11 hari 10 malam tu, banyak benda yang saya belajar. Baru saya tahu benda itu dan ini. Dengar ceramah memang membosankan, tetapi sebenarnya, info yang yang diberikan amatlah berguna dan memang patut dipraktikkan oleh semua kakitangan awam. Kursus ini juga adalah mandatori kepada semua kakitangan awam. Setelah penat mendengar ceramah, diakhir kursus, kita akan diuji dengan peperiksaan. 40 soalan objektif dan 4 soalan esei yg perlu dijawab. Letih tangan saya menulis esei. Sebelum ke kursus, kami perlu menyiapkan 5 esei tentang sejarah malaysia, perintah am dan arahan perbendaharaan. Susahnyer...dah lama tak buat assignment. Semasa di dalam kursus, kami ingat seksa dah lepas, rupanya tidak, kami ada pembentangan kumpulan, persembahan kumpulan dan public speaking dalam bahasa inggeris. Huh....
Tapi, selain ilmu pengetahuan baru yang saya dapat, ada juga beberapa perkara yg saya dapat lihat sepanjang kursus ini, ia adalah sikap merendah diri dan meninggi diri sesetengah peserta. Nak diceritakan pun mcm tak beberapa elok, biarlah ia menjadi sebahagian dari kenangan saya.
Harapan saya, semoga saya dapat lulus kursus ini. Lepas ni, kena pergi BTN la pulak....heheheh

Monday, January 25, 2010

Bengang


Bingung dan bengang. Asyik tukar dan menyusahkan saya. Sekejap ke majlis itu, kejap ke majlis ini. Pening kepala saya. Senang je ckp, yg menanggungnya...saya dan staff saya...nanti kalo yg dicaci dan dimaki oleh student... saya dan staff saya lah yg kena...hmmm...

Saturday, December 26, 2009

Kena SACAD lagi...

Saya kena SACAD lagi. Tapi kali ini bukan ditujukan kepada Kolej Kediaman Perwira, tp personally kepada saya. Sebentar td, PP saya dtg dan sampaikan kepada saya. SACAD tentang saya. Di dalam SACAD tersebut, pelajar kata saya pakai baju tidak mengikut etika bekerja. Dia juga menyatakan yang saya berbaju ketat. Erkkk...kenapa la pulak? Saya hanya berbaju kurung dan sekali sekala memakai blaus. Mana yang ketatnya? Kan saya gemuk, takkan la plak saya nak pakai baju ketat, lagi hodoh la jadinya. Ada ke saya pakai pakaian yg menjolok mata? Saya tahula mcm mana nak sesuaikan dengan diri saya yang gemuk ni. Saya tahulah nak sesuaikan diri dengan keadaan sekeliling yang rata-rata orgnya berfikiran tertutup. Kepoh dengan kisah org lain, tetapi tidak mahu memperbaiki dirinya sendiri. Saya katakan kepada PP saya, biar saya jawab SACAD tersebut sendiri, dengan cara saya.
Kekadang saya pelik la, kenapa org suka mencari kesalahan org lain. Oleh kerana dia tidak dapat cari kesalahan kolej kediaman saya, dituduhnya pula saya berpakaian ketatla hapa la... Bila difikir balik, betul juga amalan yang diamalkan oleh syarikat swasta, 'The clothes that u're wearing does not matter, but work does'.... Sabar je saya dekat sini..... Saya mmg betul2 marah. Hilang terus semua mood kerja, tapi takpa la, kerja saya mesti diteruskan. Biarlah diaorang nak kata apa, yang penting, 'SAYA ADALAH SAYA'....

Tuesday, December 8, 2009

Parasit

Jangan jd parasit. Nanti makan diri sendiri. Ada parasit yg baik dan sebaliknya. Parasit yang baik akan menyokong dan membantu dengan caranya yg tersendiri. Parasit yang kurang baik akan meracun dan membunuh dalam senyap. Kehidupan, kerja, kekeluargaan dan persatuan, ada parasitnya yg tersendiri. Di sini, ada dua tiga org yg telah dikenal pasti sebagai parasit. Mmg jenis yg kurang baik, yang kena tempiasnya adalah rakan2 nya, org kuatnya dan org jagaannya. Kerana ingin menutup kekurangannya, dia babitkan org lain, salahkan org lain, lari dari masalah, bawa masalah baru dan bawa banyak lagi perkara negatif. Kerana mulut, badan binasa. Org tak bersalah diheretnya sekali. Ubahlah perangai, ubahlah cara dan bantulah seadanya. Kita tak selalunya menjadi org yg penting. Anda jaga tempat anda, saya jaga tempat saya...
p/s: Saya pun serba kekurangan. Harap2 tak jd dan dijauhkan dari menjadi parasit....

SPARK 2009

Minggu lepas, hampir seminggu saya berkampung di Paradise Sandy Beach Resort untuk Seminar Pengurusan Arsama Peringkat Kebangsaan 2009 @ SPARK 2009. Seminar bermula pd 30 Nov hingga 4 Dec 2009. Pelbagai pembentangan dari IPTA yang terpilih dan semuanya merangkumi bagaimana mentadbir asrama dengan lebih terurus dan efisyen. Ini merupakan kali pertama saya mengikutinya dan seminar ini hanya berlangsung 2 tahun sekali. Objektif seminar ini adalah untuk menyediakan kemudahan asrama yang terbaik untuk para pelajar kerana mengikut kajian, sebanyak 80% masa belajar mereka di IPT banyak di habiskan di kolej kediaman. Jika kolej kediaman yang disediakan amat selesa dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan, jumlah pelajar yg akan cemerlang di dalam pelajaran juga akan meningkat. Ini kerana mereka dapat duduk dgn selesa di kolej kediaman masing2. Antara IPTA yg terbaik menguruskan kemudahan kolej kediaman ialah UiTM. Cara pengurusan dan penyelarasan kolej kediamannya boleh dijadikan sebagai contoh. Bangga saya mendengarnya dan mmg saya akui, UiTM mmg sgt bagus di dalam mentadbir dan mengurus kolej kediaman. Pihak pengurusan mereka juga tidak lokek berkongsi ilmu dan mereka membuat pengredan kolej kediaman mereka sendiri. Jika kolej kediaman tersebut dapat mencapai objektif dan berjaya memenuhi kemudahan pelajar, kolej tersebut akan digredkan sebagai Kolej 'A'. Kolej 'A' di UiTM sekarang dipegang oleh Kolej Mawar dan Kolej Seroja. Bangga juga pasal saya pernah duduk kat kolej Seroja masa belajar dahulu. Banyak juga input yg saya dapat sepanjang seminar ini berlangsung. Terasa mcm berkobar-kobar pulak nak menguruskan kolej kediaman. Hehehheheh...
Cuma apa yg dikesalkan, ada segelintir pegawai yang 'menghaibkan' diri ketika seminar berlangsung. Bila awal pagi, ramai je yg hadir, tetapi bila waktu petang, semuanya 'hilang'...Dewan seminar tu nampak mcm lengang je. Mungkin mereka pergi cari nasi kandar dan jeruk2 kot... Tak bagus sebenarnya sikap mcm tu. Kita datang seminar tu untuk belajar benda baru, mana yg baik boleh diaplikasikan dan cari kekurangan kolej kediaman kita untuk diperbaiki. Hmmm....entahlah...masing-masing...
p/s : kerja yang dahulunya saya tak tahu hujung pangkalnya dan tidak biasa dengan suasananya, lama kelamaan jd seronok pula...Alhamdulillah..

Thursday, November 19, 2009

Tahniah!!!!! tetapi....

Dah nak bersawang dah saya punya blog ni.....kena selamatkan ni...hehheh.. Bukan apa, kebelakangan ini, saya agak sibuk sedikit dengan kerja di kolej kediaman. Nak kena siapkan Sasaran Kerja Tahunan, kemasukan pelajar baru untuk semester hadapan, nak evaluate staff untuk prestasi kerja dan mcm2 lagi. Alhamdulillah, kebanyakkannya sudah diselesaikan, cuma ada tinggal sedikit lagi yg perlu di touch up. Dalam kelam kabut saya kena settlekan kerja, berita baik menyusul.. Staff saya, Izham @ Am, dinaikkan pangkat dari N17 ke N22, Alhamdulillah.... Tetapi, yg tak seronoknya, dia akan dipindahkan ke fakulti FKMP berkuatkuasa 16 November 2009. Sedih juga saya pasal beliau seorang pekerja yg sgt rajin dan bagus. Tp sudah rezeki dia. Saya terpaksalah juga lepaskan dia ke fakulti. Tak cukup dengan itu, tup tup.. Hari ini, Fairuz @ Apai pula ditukarkan ke Pusat Pengajian Akademik berkuatkuasa pada 1 Disember 2009.... Saya tersentak..terfikir saya, Ya ALLAH...mcm mana ni? kedua-dua PT saya 'dikebas' orang.... Saya luahkan di dalam meeting di HEP... saya amat memerlukan khidmat mereka di kolej kediaman Perwira, kalau ambil kedua-duanya sekali, mcm mana dengan pentadbiran saya? Timbalan Pendaftar HEP saya pun tidak pasti tempat mereka akan digantikan dengan siapa. Sedih..mmg sedih... Tetapi sudah rezeki mereka, mesti ada hikmahnya.
Tengahari td , Izham dtg ke office saya. Saya tanya mcm mana dengan tempat baru? Ok tak? Jawapannya amat sedih saya dengar. Dia kata suasana kerjanya tidak beberapa seronok. First time dia rasa tidak seronok dtg ke tempat kerja, selama dia berkhidmat 7 tahun di UTHM. Kerja banyak dia tidak kisah tetapi suasananya tidak friendly, katanya. Dia sampai kata, kalau boleh dia nak kembali ke Perwira. Sebelum ini, dia pernah juga ditukarkan beberapa kali di pejabat2 yg berlainan dan dia tidak beberapa kisah sgt. Tetapi kali ini, dia berasa amat lain sekali. Saya hanya mampu terdiam. Kalaulah kuasa ditangan saya, mmg saya akan kekalkan mereka di kolej saya. Saya berikan dia kata2 semangat sedikit. Mungkin terlalu awal lagi dan mungkin dia masih tak boleh adapt dengan suasana baru. Saya ckp lagi, kalau boring2, bolehlah dtg ke Perwira bila waktu rehat. Kami berjanji akan terus berhubung dengannya. Baru dia tersenyum, lega katanya.
Bila saya kenang balik, saya rasa amat sedih sekali. Kehilangan 2 org staff yang amat bagus sekali. Tetapi bila difikirkan semula, mereka layak terima pertukaran ini. Mereka diiktiraf dari segi kerja dan komitmen yg diberikan. Apa pun, GOOD LUCK kepada kedua-dua staf saya, semoga anda berjaya dan terus berjaya.....

p/s : En. Izham & En. Fairuz telah mendapat Anugerah Khidmat Cemerlang bagi Tahun 2008. Agaknya pasal dapat anugerah ini kot, mereka ditukarkan...

Thursday, October 8, 2009

Takda Ong la Cik...

Saya terima beberapa aduan sejak kebelakangan ini. Aduan mengenai penampakan makhluk halus disekitar kawasan kolej saya. Menurut kata mereka, 'perempuan' tersebut akan berdiri di depan tingkap mereka dan apabila mereka menutup pintu rumah, 'perempuan' tersebut akan berada di dalamnya. Kejadian ini berlaku disekitar blok2 siswa. Saya terima aduan mereka. Bagi saya, biasalah kalau kadang2 ternampak. Kawasan di sini mmg banyak 'benda' tu berkeliaran. Tp ada satu student ni yg buat saya gelak. Satu student cina ni. Dia datang ke pejabat saya, mengadu tentang hal dia nampak 'perempuan' tersebut diri di depan tingkap biliknya dan kemudian bergerak ke depan pintu. Dia terus berlari dan tutup pintu tersebut. Apabila dia pusing, 'perempuan' tersebut berada di dalam rumah. Dia ckp dengan saya, "Macam mana dia boleh masuk rumah saya cik, saya dah kunci pintu"... Hahhahahhaa....Mmg la, 'benda' tu, dinding tebal pun dia boleh lepas, inikan pula pintu berkunci. hahhahhaha. Saya tahan gelak saya. Kesian juga kat student ni. Mungkin dia dah gelabah sgt kot sampai tak bole nak fikir. Dia sampai jumpa sami di kampungnya untuk berubat. Dia ckp lagi yg sami dia kata, bad luck kalau selalu nampak hantu ni. "Takda ong la cik, kalau selalu nampak"... Dia tunjukkan saya berbagai tangkal yg diberikan oleh sami tersebut. Dia juga minta jasa baik saya untuk tukar bilik. Menurut kata sami dia, fengsui dia bagus di blok B pasal kat situ matahari naik terus pancar blok. Ye kan je la...hehehheh
Saya tahu kenapa ramai student yg terserempak dengan 'benda' tu...Ini kerana, student kat sini suka gelak kuat2 bila malam, tak hormat org sebelah menyebelah, kacau org nak belajar, suka nyanyi kuat2 dan sebagainya. Saya rasa, mungkin 'benda' tu ingat.."Wah, ni kawan aku ni, boleh join menggilai sekali"... agaknya la...heheh

Wednesday, September 16, 2009

Breakfasting Ceremony : Tighten The Bond





Ramadhan semakin hampir ke penghujungnya. Ramai org berlumba-lumba nak buat majlis buka puasa. Sana sini ada jemputan. Pilih saja mana satu yg kita nak pergi. Makanan jangan cakaplah, berlambak-lambak dengan bermacam-macam menu. Pada Ramadhan kali ini, saya sempat jugalah pergi ke beberapa majlis yg dijemput. Ada juga dijemput, tetapi saya tak pergi. Mana la larat kalau nak pergi hari-hari. Menu yg dihidangkan pun agak sama. Biasalah kalau di Batu Pahat ni, nasi beriyani dan sate mmg makanan wajib. Muak juga kalau makan benda yang sama hari2.
Pada minggu lepas, saya berkesempatan mengikuti 3 majlis berbuka puasa. Pada hari khamis 10 September 2009, majlis berbuka Kolej Kediaman bersama Dato' NC dan pegawai-pegawai kanan universiti. Ramai juga student yg turun nak dekat dalam 1000 org. Menunya pula lauk pauk kampung. Mmg selera la semua yg hadir. Syukur Alhamdulillah kerana majlis tersebut berjalan dengan baik.
Pada keesokkan harinya pula, Jumaat 11 September 2009, saya dan semua staff saya berbuka di Danga Bay. Majlis ni hanya untuk kami2 sahaja. Lepas habis kerja pukul 4.30 ptg, kami terus rushing ke J.B. Kami hijacked van kolej kediaman. Hahahahha. Kami berbuka di Buffet Ramadhan Terpanjang dari LC Catering. Tp sebenarnya tak panjang pun. Pilihan makanan pun tak banyak, tp alhamdulillah, kenyang. Lepas dari berbuka, kami terus gerak ke Jusco Bukit Indah. Saja window shopping sambil lihat2 apa barang yg boleh dibeli nanti. Selepas itu, staff saya singgah di kedai makan ayah untuk minum2 dan makan ringan2 skit. Diaorg gerak balik ke Batu Pahat lepas pukul 12.00 tgh malam. Saya pula, stay, kerana keesokkannya saya nak bertolak ke Shah Alam.
Pada hari Sabtu 12 September 2009, saya gerak ke Shah Alam pada awal pagi. Hati saya dah berbunga-bunga sejak minggu lalu. Tak sabar rasanya. Ini kerana Teamtact jemput saya ke majlis buka puasa mereka. Mmg saya tunggu peluang ini. Pasal masa majlis berbuka PERLU a.k.a majlis birthday Boss, saya tak dapat hadir kerana kekangan kerja. Mmg frust. Bukan apa, masa inilah saja yg kita boleh jumpa rakan2, tanya khabar berita dan lain-lain. Sampai saja di Shah Alam, saya terus ke ofis Teamtact. Lepak dkt sana sekejap, tolong arrange skit2 kemudian gerak ke rumah Dilla untuk bersiap. Pada majlis tersebut, menu yg disediakan amat menyelerakan. Ayam masak merah, daging masak hitam, kuah dalca, pecuk darat, nasi kerabu dan berbagai kuih serta puding. Tp yg penting, dapat jumpa sahabat2 dan guru2 saya. Piyun, Boy, Abe, Yasir, Yus, Anis, Atiq, Angah, Dilla, Lenny, Bro PPT, Kak Nurul, Kak Ina, just to name a few. En. Hisyam dan Doc Anuar serta isteri pun sanggup luangkan masa untuk hadir ke majlis tersebut. Memang meriah bila sekali sekala dapat berkumpul.
Apa yang saya dapat lihat di sini, majlis seperti ini mmg dapat mengikat tali persahabatan dan persaudaraan. Bila berkumpul, mcm2 cerita yg keluar, khabar berita dan sebagainya. Persahabatan akan menjadi lagi kuat dan kita akan lebih menghargai setiap minit bila kita bersama sahabat2 kita.

Monday, September 14, 2009

Sahsiah atau Salahsiah?

Salah siapa kalau individu atau pelajar itu biadap dengan org lain? Tak kira la dengan pensyarah, pentadbir atau yg lain-lain... Salah siapa? Baru-baru ini, pengetua saya diherdik oleh seorang pelajar. Kejadian tersebut berlaku pada pukul 3 lebih pagi. Ketika itu, pengetua saya membuat rondaan disekitar cafe di kolej saya. Sedang dia meronda-ronda, dia bertanya kepada beberapa pelajar ttg apa pendapat mereka mengenai cafe, makanan dan harga. Tetiba, dia di approach oleh seorang student lelaki dan pelajar tersebut menanyakan kenapa mereka dilarang keluar bersahur diluar kolej. Pengetua saya menjawab yg kan lebih baik bersahur di cafe sahaja dari bersahur di luar kerana khuatirkan keselamatan dan semestinya jika ada apa2 yg berlaku ke atas pelajar, pengetua yg akan bertanggungjawab. Pelajar tersebut rasa sgt tidak puas hati dan mula menyoalkan pelbagai hal. Suaranya pun sudah mulai tinggi dan melawan kata2 pengetua saya. (Untuk makluman, pengetua saya seorang perempuan dan kebetulan pula pensyarah fakulti pelajar tersebut.) Banyak benda yg diluar topik yg dipersoalkan oleh pelajar tersebut. Setelah dibalas dan ditepis oleh pengetua saya, pelajar tersebut terdiam dan berlalu pergi tanpa meminta maaf kepadanya. Keesokkan harinya, ada dengar desas-desus pelajar2 ingin buat memoramdum kepada pengetua saya kerana tidak berpuas hati dengan insiden malam tersebut.
Senario begini adalah perkara biasa yang selalu diamalkan di sini. Segelintir pelajar berkelakuan biadap apabila berhadapan dengan pensyarah atau berurusan dikaunter pejabat. Apabila ada benda yg tidak memuaskan hati mereka, pasti mereka akan mengugut untuk membuat memorandum, SACAD dan sebagainya. Silap siapa sebenarnya atau di manakah silapnya? Terus terang saya katakan, peraturan yg dibuat oleh universiti ini, tersangat longgar. Pelajar boleh berlengan pendek ke kelas, berambut panjang, kaler rambut tu jgn ceritalah, berlambak...dan banyak lagi. Saya pelik, pensyarah tak tegur ke? Rupa-rupanya, ada segelintir pensyarah yg buat tidak tahu saja dengan apa yg terjadi. Mereka tidak pernah menegur atau membuat tindakan keatas pelajar2 tersebut. Rasa hormat pelajar2 kepada pensyarah2 juga kurang. Pensyarah2 mcm dibuat main2 saja. Sebab tu pelajar naik lemak, buat sesuka hati mereka. Hmmmm..kalau nak diluahkan apa yg tidak baik, berjela-jelalah panjangnya. Tetapi ada juga yg baik dan mengikut peraturan.
Sepatutnya, pelajar2 ini harus belajar beradab sejak dari rumah dan dipraktikkan sepanjang mereka hidup. Di peringkat sekolah dan universitilah mereka harus praktikkan budi bahasa dan adab. Bila dah keluar bekerja nanti, tidaklah janggal dan boleh diterima oleh orang lain. Jgnlah pula kita nak marah jika org lain tidak menghormati kita, pasal kita pun tidak beradab ketika di universiti dulu. Lagi satu, bila kita susah nak dpt kerja, cari di sana sini, tapi tidak diterima, cuba ingat balik, mungkin kita kurang ajar dengan guru kita semasa belajar. Sebab itu ilmu yg dapat tidak mendapat berkat dan tidak didoakan oleh guru kita. Pesanan kepada para pelajar, beradablah sikit bila berurusan dengan orang, hormatlah guru2 kita dan banyaklah berkawan dengan orang. Anda masih belajar lagi, banyak benda yang kita tak tahu lagi. Dunia diluar amat luas untuk diterokai dan banyak benda yg perlu ditempuhi. Buka sikit minda anda. Kita boleh suarakan apa sahaja yg kita rasa, tetapi biarlah disaluran yg betul dan gunakanlah kepandaian kita untuk bercakap. Jangan ikut suka je....

Friday, September 11, 2009

Majlis Berbuka Kolej Kediaman Perwira

Pada petang semalam, satu majlis berbuka puasa peringkat Kolej Kediaman telah diadakan di kolej saya. Alhamdulillah, semuanya selamat dan telah berjalan dengan lancar. Mmg tradisi setiap tahun, apabila tiba bulan Ramadhan, pasti ada majlis buka puasa untuk setiap kolej kediaman. Bajet yg diberikan adalah untuk semua penghuni kolej kediaman, tidak mengira bangsa. Jumlah pelajar di kolej saya pula seramai 2000 org. Pelajar yg hadir unuk berbuka duduk bersila diatas tikar dan mereka semua makan di dalam dulang. Bagi org Johor, makan di dalam dulang sememangnya perkara biasa dan selalu dilakukan ketika kenduri. Menu yg menjadi hidangan kepada pelajar pada kali ini ialah kuah labu dan kacang panjang masak lemak, ayam masak kicap, timun, sambal belacan, ikan kering bulu ayam dan serunding. Manakala karipap, pisang dan kurma pula dijadikan sebagai pembuka selera.
Antara tetamu yg datang pula ialah Dato' Naib Canselor, TNC Hepa, Pengetua2 kolej kediaman, pegawai2 kanan Universiti, dan felo2 kolej kediaman Perwira. Saya bersyukur kerana telah berjaya melaksanakan majlis tersebut. Staf2 saya sememangnya banyak membantu sepanjang proses pelaksanaannya. Masa yg diberikan kepada kami pula tidak sampai seminggu dan banyak yg perlu dibuat. Tetapi, Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan amat baik sekali. Terima kasih sekali lagi kepada staf2 saya dan semua individu yg banyak membantu sebelum, sepanjang dan selepas majlis dijalankan.

Thursday, September 3, 2009

Setahun dengan pelbagai dugaan

Tak sangka saya, hari ini 3 September 2009, genaplah setahun saya kerja di UTHM. Saya mula bertugas di UTHM sejak 3 September 2008. Sepanjang satu tahun saya di sini, berbagai cabaran, dugaan dan pengalaman yang saya dapat. Mmg banyak rintangan yang saya hadapi. Saya seperti buat aktiviti Survival, tetapi lokasinya berlainan. Bukannya dihutan, tetapi di pekan kecil (Parit Raja). Saya pernah give up dan rasa mcm nak balik semula ke MSN. Saya selalu bercerita dengan Yasir, Mus, Shawn, PPT dan Che Sue. Merekalah pendengar setia saya. Hehehe. Tp bila difikirkan balik, ianya harus dijadikan sebagai cabaran dan bukannya halangan. Jadi, saya kekal di sana. Selepas melalui beberapa fasa, i started to develop a leather skin, thick skin or whatever u want to called it. Saya mula belajar defend diri saya, defend staff dan tegakkan isu yg mmg sepatutnya diketengahkan. Saya mahukan perubahan. Ini kerana sistem yg diamalkan selama ini adalah sgt lemah dan sudah dipraktikkan bertahun-tahun. Saya mempunyai barisan staff yg kuat dan berpengalaman tetapi tidak pernah diberi peluang untuk mengutarakan pendapat. Kolej saya juga dipandang rendah oleh kolej2 yg lain. Bias, pilih bulu, pilih kasih, berat sebelah dan kipas mengipas menjadi amalan kerja. Tp semua tanggapan, saya ketepikan. Saya cuba ubah dan buat yang terbaik. Dugaan paling besar saya ialah bila saya dituduh menyalah gunakan van kolej kediaman, tidak layak duduk di kolej kediaman dan hanya layak duduk di pusat sukan, just to name a few.... But luckily for me, i still stand till now n i corrected all the incorrected things bout me.
Alhamdulillah, sebagai balasan dan bukti saya dan staff saya buat perubahan dikolej kami, keputusan Audit Kualiti Dalaman 2009 : Tiada NCR. Kolej saya sudah 2 tahun berturut-turut dikenakan NCR kerana sistem fail dan pentadbiran yang lemah. Malah juruaudit juga mengatakan bahawa sistem pentadbiran kolej saya sudah banyak berubah dan banyak peningkatan yg baik. Saya dan staff saya mmg bersyukur dan merasa amat puas hati. Akan tetapi yang menyedihkan bila ketua saya kata, "U tak kena NCR? Tak buat keje ke?.... La, bukan ke bila tak kena NCR tu, maknanya kita telah menjalankan tugas dengan sebaiknya. Pelikkan? That's why, when u asked a clown to run the department, u will get a circus as a result. I scraped all the stupid works n mistake that u have been done for all this time and this is what i get?..huh.. nevermind, ALLAH swt knows all the things that i do n i wish u all the best...
Bak kata En. Hisyam, TAKPA...biarlah org nak kata dan buat apa, yg penting kita jalankan tugas kita. Ada hikmahnya saya dapat kerja disini. Mungkin rezeki saya sudah ditetapkan disini dan mungkin ia akan menjadikan saya lebih tabah dan kuat menghadapi sebarang dugaan dan cabaran. Saya berdoa agar saya diberikan kekuatan untuk meneruskan kerja saya disini. Terima kasih juga kepada mama n ayah, sahabat2 dan guru2 yang banyak memberi sokongan kepada saya.

Monday, August 10, 2009

Akhirnya..ditutup jua


Akhirnya, terpaksa ditutup juga UTHM. Ia akan mula ditutupbermula pada 12 hingga 23 Ogos 2009 ini. Makluman ini dibuat pada tengahari td dan serta merta akan berkuat kuasa bermula pada hari rabu ini. Mungkin ramai yg tertanya-tanya, kenapa UTHM tidak ditutup awal walaupun di Batu Pahat sahaja sudah ada 2 kes kematian disebabkan oleh H1N1. Ini mungkin antara sebabnya, pertama, bermula dari 4 hingga 10 Ogos 2009 berlangsungnya Pesta Konvokesyen UTHM yg ke-8. Manakala majlis konvokesyennya pula bermula pada 8 hingga 10 Ogos 2009. Kedua pula, mungkin kerana tidak mahu menghampakan ibu bapa yg sudah menempah tiket kapal terbang, hotel dan sebagainya semata-mata untuk melihat anaknya konvo.

Sejak minggu lepas juga, pelajar2 yg didapati demam akan dikuarantinkan di Kolej Kediaman Taman Universiti. Sepanjang itu jugalah saya standby 24 jam di Kolej Kediaman Perwira. Apabila mendapat panggilan telefon dari PKU sahaja, saya perlu bergegas ke sana untuk mengambil pelajar yg sakit. Tugas saya dan staf saya adalah mengambil pelajar di Pusat Kesihatan Universiti, kemudian bawa semula ke kolej kediaman untuk mengambil barang peribadi mereka dan seterusnya menghantar mereka ke tempat kuarantin. Penat juga, bayangkanlah, dalam 1 hari seramai 7 org yg perlu dikuarantin. Ulang alik ke tempat kuarantin. Rasanya mcm takut pun ada kerana kita terdedah dengan org yg sakit. Alamatnya, pakai mask la saja kemana pun kami pergi. Pelajar yg dikuarantin pula akan dipantau oleh PKU dan setiap hari sebanyak 3 kali, suhu badan mereka akan diambil. Apabila suhu badan mereka menurun, mereka akan dibenarkan balik ke kolej masing2. Pelajar juga boleh balik jika ibu bapa mereka datang mengambil mereka.

Letih, sememangnya letih. Tetapi atas dasar tugas, kenalah buat juga. Suasana di PKU, lagilah sesak. Penuh dengan pelajar yg sakit. Muka nurse dan doktor pun dah naik letih. Jgn la pula mereka yg sakit. Kesian mereka. Bayangkanlah dalam masa 3 hari, pusat kuarantin penuh dengan pelajar seramai 47 org. Saya pun risau juga kalau pelajar2 ini tidak dikuarantin, takut pula demamnya berjangkit dengan pelajar yg lain. Setelah hebahan dibuat pada tengahari td, ramai pelajar yg sengih sampai ke telinga. Syoknyer cuti ye..Tp, mereka tidak tahu senario yg sebenarnya. PKU telah mengeluarkan kenyataan bahawa selepas mereka balik bercuti, berkemungkinan besar, jumlah pelajar yg sakit akan bertambah. Ini kerana mereka lagi terdedah dengan org luar. Hmmmm.....macam mana ya.....

Tuesday, August 4, 2009

Penangan H1N1

Mulai dari semalam, saya mula menghantar student kolej kediaman saya ke tempat quarantine. Mereka akan diquarantine sehingga baik. Pelajar juga boleh balik ke rumah jika ibu bapa mahu datang mengambil mereka. Mulai semalam juga, saya mula standby di ofis untuk menghantar student yg sakit dan akan diquarantine. Di UTHM, kami tidak menutup universiti selagi tiada arahan yg diberikan dari Dato' NC. Sekarang juga sedang berlangsung pesta konvokesyen ke 8. Para pelajar yg akan berkonvo pada 8 hingga 9 Ogos 2009 ini. Mungkin ini salah satu sebab universiti tidak ditutup. Takut tiada sambutan ketika berlangsungnya pesta konvo. Setakat ini, seramai 7 org pelajar saya diquarantine. Kami satu ofis semua sudah mula memakai mask sebagai langkah berjaga-jaga. Kami deal dgn student setiap masa, jd rasa agak takut jugalah kerana perlu berinteraksi dengan student. Bukan apa, sebagai langkah berjaga-jaga sahaja. Untuk semua bloggers, banyakkan minum air, makan makanan yg mengandungi QUECERTIN (paling banyak dlm bawang merah, buah-buahan dan sayur), minum isotonik drink dan banyakkan rehat. These are some of the good article that i found in the internet.. http://www.squidoo.com/preventing-swine-flu i've been reading it ever since. It's a very good sources of information that we can know and learn about the h1n1 flu. Maybe we can learn a few things in order to prevent the flu. Eventhough WHO said that it has become an outbreak, doesn't mean that we cannot prevent n stop it. Every disease has a cure. Just believe in it. And the keyword to overcome the outbreak is 'BE CALM AND DO NOT PANIC'.. and have fun reading it...

Monday, July 20, 2009

Rumusan

Saya terpaksa buat mcm ini....buat rumusan untuk semua aktiviti yg telah saya lalui selepas KKRTS Uthm yg lalu..hehehheh..minta maaf ya...
Konvensyen MPP Kebangsaan 2009
Kali ini, UTHM telah terpilih menjadi tuan rumah untuk konvensyen MPP peringkat kebangsaan 2009. Konvensyen ini bermula dari 15 hingga 20 Mei 2009 yg lalu. Di sinilah kita dapat melihat pemimpin2 dari IPTA seluruh Malaysia. Ada yg berwibawa dan ada yg sebaliknya...mcm jaguh kampun pun ada juga. Hanya gah di kawasan jajahannya sahaja. Apabila disuruh bercakap, lain yg ditanya, lain pula jawapannya. Tp ada juga yg hebat dan menunjukkan ciri2 seorang pemimpin yg berwibawa. Cara mereka membawa anak2 buah juga amat kami kagumi. Sifat rendah diri sentiasa di diri mereka. Walaubagaimana pun, tahniah diucapkan kpd semua MPP IPTA yg hadir. Sekurang-kurangnya, mereka berani jugalah membawa isu-isu dan resolusi2 yg mereka rasa mereka perlu tegakkan.
Minggu Haluan Siswa 2009 / 2010
Sememangnya minggu yg amat memenatkan. Banyak perkara yg perlu dibuat. Seperti persiapan bilik, kunci dan pembersihan bilik. Nama juga perlu di key in kan. Sangat memenatkan. Banyak benda yg perlu diselesaikan. Untuk semester ini, kolej kediaman saya menerima kemasukan sebanyak 800 lebih pelajar dan merupakan penerimaan yg paling ramai. Kolej kediaman yg lain hanya beberapa ratus sahaja. Kami standby 24 jam sepanjang minggu tersebut berlansung. Manakala, sebulan sebelum itu pula, kami berhempas pulas membuat penyediaan bilik. Saya tgk muka staf saya pun mcm dah tak larat dah....hehehhe..tp kami harus menyediakan bilik2 tersebut juga. Ini semua adalah untuk kegunaan pelajar baru nanti. Alhamdulillah, sepanjang minggu tersebut berlansung, tiada sebarang gangguan dan kecederaan yg berlaku kepada pelajar di kolej kediaman kami. Kalau tak..lagi la penat nak melayan..hehhehe

Lamanya....

Iskh...lamanya saya tak update blog....banyak kerja dan kena settlekan kemasukkan pelajar baru ke Kolej Kediaman saya. Hampir 800 org pelajar baru mendaftar di kolej kediaman Perwira. Tak menang tangan dibuatnya. Sebenarnya, banyak perkara yg ingin dikongsikan, tp kerana kekangan masa. Tp takpe, akan saya compilekan semuanya...hehehheh...buat rumusan....

Monday, May 25, 2009

KKRTS UTHM








Alhamdulillah, Kursus Kejurulatihan Rekreasi Luar Tahap 1 untuk pelajar UTHM telah selamat diadakan pada 11 hingga 14 Mei 2009 yg lalu. Semuanya berjalan lancar tanpa berlaku perkara-perkara yg tidak diingini dan tiada juga sebarang kemalangan yg berlaku. Safety First...itulah yang selalu diamalkan. Kursus tersebut di kendalikan oleh TEAMTACT. Tahniah dan penghargaan mmg patut diberikan kepada TEAMTACT kerana berjaya mengendalikan kursus ini. Pelajar yg terlibat semuanya dari Kolej Kediaman Perwira dan ada juga wakil dari Kolej Kediaman yg lain. Feedback yg saya dapat dari para pelajar mmg cukup baik. Staff saya juga amat teruja dan Alhamdulillah, mereka semua dapat sesuaikan diri dengan instructor dari TEAMTACT. Mereka tidak pernah pergi ke kursus sebegini sebelum ini. Ini merupakan pengalaman yg baru dan menarik buat mereka. Saya juga berpuas hati dengan para peserta yg mengikuti kursus ini walaupun ada yg merasakan kursus tersebut lain dari apa yg disangka. Saya faham, mereka tidak pernah merasai pengalaman sebegini. Mereka juga bukanlah pelajar dari fakulti Sains Sukan. Tapi di dalam sesetengah perkara, saya agak kagum dengan pencapaian yg ditunjukkan oleh para peserta. Pujian patut diberikan kepada mereka. Insyallah, jika tiada aral melintang, pasti saya akan memajukan beberapa nama untuk dilatih menjadi instructor. Ada juga 'True Colors' yg keluar ketika kursus tersebut berjalan. Takpa, biar saya simpan sahaja. Diharap dapat diubah yg mana tidak elok dan dimurnikan lagi mana yg baik. Sepanjang kursus tersebut berlangsung berbagai aktiviti yg disediakan oleh TEAMTACT. Antara aktiviti tersebut adalah, Abseiling, Flying Fox, Kayaking, Orienteering, Camp Craft, Blind Trail, Survival, First Aid n CPR dan Navigation. Para peserta sememangnya amat seronok dan ada yg ingin ke level 2 pula. Saya berharap aktiviti begini dapat diteruskan dan seterusnya menjadi aktiviti wajib untuk Kolej Kediaman Perwira.


p/s : Terima kasih tidak terhingga saya kepada semua Instructor Teamtact yg mengendalikan kursus tersebut. Mereka ialah Mr. Shawn, Mr. Malin, Mr. Mus, Mr. Yasir, Mr. Ajoy, Mr. Stone, Mr. Dasri, Miss Lenny....Jasa anda semua, tidak terbalas oleh saya..Tidak lupa juga kepada sahabat2 yg sudi menjengok kami iaitu Mr. Iman dan Mr. Boyington....Terima kasih semua...

Tuesday, March 31, 2009

Bengkel Jurulatih dan Pengurus Pasukan UTHM 2009


27-29 Mac 2009 yg lepas, saya kena attend Bengkel Jurulatih dan Pengurus Pasukan UTHM 2009 di Hotel Dorsett, Johor Bahru. Saya telah dilantik sebagai pengurus pasukan Taekwondo ITF UTHM. Alhamdulillah..saya terima lantikan tersebut. Walaupun sebenarnya saya lebih mahir kepada Taekwondo WTF. hehehheh. Bengkel tersebut sangat bagus dan mmg tidak disangka, penceramah yg dipanggil untuk memberi ceramah Sport Injury dan Sport Science, tidak lain tidak bukan ialah PM Dr. Anuar Suun. Kami sempat berbual dan bertanya khabar. Doc ada menyatakan kebanggaannya bila mengetahui Pusat Sukan UTHM diuruskan oleh bekas pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Shah Alam. Dari pegawai hinggalah ke pembantu. Cuma saya je yg tercampak ke kolej kediaman. hahahha. Ilmu yg diberikan oleh Doc sepanjang bengkel mmg amat berguna dan seperti masuk ke kelas semula. Senang faham. Tapi bagi sesetengah jurulatih dan pengurus, ilmu tersebut sangat baru bagi mereka. Takpa, asalkan mereka faham dan boleh aplikasikannya untuk masa akan datang.

Semasa 28 Mac 2009 itu juga, Hotel Dorsett juga telah mengambil bahagian di dalam 'Earth Hour 2009'. Jadi hotel tersebut akan bergelap dari 8.30 - 9.30 mlm. Kebetulan, waktu tersebut waktu makan malam kami. Apa lagi, makan dalam gelap la. hahhahah. Nasib baik kami dibekalkan lilin di meja makan kami. heheheheh. Apa pun, bengkel tersebut berjalan dengan lancar dan rata2, semuanya berpuas hati dengan input yg diberikan.

Thursday, March 26, 2009

Hari Penamaan Calon JKP

Td, berlangsungnya sessi penamaan calon untuk pelajar yg ingin menjadi JKP Kolej Kediaman Perwira. Pada mula sessi, sebanyak 18 org yg bertanding, tetapi apabila waktu bantahan, terdapat 2 bantahan yg kami terima. Hanya 1 sahaja yg kami terima dan satu lagi kami tolak setelah berbincang dengan pihak rayuan. Org yg dibantah pun taknakbuat rayuan dan seperti sudah patah hati...hmmm..takpelah..Akhirnya, hanya 13 org calon sahaja yg akan bertanding. Ini kerana 4 kerusi lagi sudah dimenangi tanpa bertanding. Pemilihan akan dilakukan pada 1 April 2009. Nampaknya, perang poster, motto dan manifesto akan bermula di Perwira. Good luck kepada semua calon....semoga anda semua dapat membuat pembaharuan di Perwira.