Tuesday, June 8, 2010

H1N1 menyerang kembali...


Kematian boleh menjemput kita bila-bila masa sahaja. Kalau kita baru bertemu pada minggu yg lepas, tidak pasti lagi jika kita dapat bertemu pada minggu ini. Semuanya terletak pada kuasa ALLAH s.w.t. Pada hari jumaat yg lepas, saya dikejutkan pada awal pagi subuh dengan berita yg mengejutkan. Makcik saya meninggal dunia pada pukul 6.00 pagi. Saya tahu dia sudah berada di dalam keadaan koma sehari sebelum dia meninggal dunia. Puncanya, arwah hanya demam sahaja. Demam arwah tidak kebah walaupun sudah seminggu, batuknya pula jd makin teruk. Pada pagi khamisnya, keadaan arwah semakin teruk, apabila pakcik saya telefon ambulan untuk meminta mereka membawa isterinya ke hospital, jawapannya hampa. 'Kami takkan bawa pesakit yg hanya demam', itu kata pihak hospital. Padahal, pada waktu kejadian, arwah makcik saya sudah sesak nafas dan tidak mampu untuk berjalan. Pakcik saya malas nak bertekak dengan pihak hospital, dia angkat arwah dan bawanya turun ke bawah dari tingkat 4. Apabila sampai di hospital, arwah terus pengsan dan tidak sedar sehinggalah dia meninggal dunia.
Apabila di diagnos oleh doktor, beliau mengatakan arwah ada paru-paru berair, tekanan darah yg tinggi dan tahap kencing manis yang tinggi. Tetapi, apabila arwah didiagnos semula selepas meninggal dunia, doktor mengesahkan arwah positif H1N1. Selepas disahkan, pihak hospital menguruskan semua pengurusan jenazah dan keluarga arwah hanya boleh melihat jenazah dan tidak boleh menciumnya. Sebak rasa keluarga arwah, hanya boleh melihat sahaja. Jenazah juga hanya boleh dibawa balik ke rumah, tetapi tidak boleh dibuka kain kafannya dan hanya 15 minit sahaja boleh berada di dalam rumah. Selepas dibawa ke surau untuk disolatkan, jenazah dibawa terus kawasan perkuburan Bukit Aliff. Ketika di sana, org dari pihak hospital sudah menunggu. Hanya org hospital sahaja yg boleh membawa masuk mayat ke dalam liang, sambil memakai penutup mulut. Tetapi untuk urusan kambus tanah, boleh dilakukan oleh ahli keluarga. Sedih bila kami mengenangkan cara pengurusan jenazah arwah, walaupun sempurna dan tertib tetapi sedih juga bila tidak dapat sepenuhnya diuruskan keluarga. Keluarga arwah juga redha dan faham mengenai prosedur pihak hospital bila menguruskan jenazah yang melibatkan penyakit wabak.
Buat masa sekarang, saya dan keluarga juga kurang sihat dan demam, tetapi beransur pulih. Kepada rakan-rakan blogger sekalian, jika rasa kurang sihat atau demam, cepat-cepatlah ke klinik atau hospital. Bukan apa, sebagai langkah berjaga-jaga. Dulu saya hanya dengar org luar je yang kena H1N1, bila kena kepada saudara sendiri, saya jd takut kerana melihat sendiri bagaimana arwah kena H1N1 dan kesannya mmg sangat cepat tanpa kita sedar.
Kepada Uncle Shukor, Alip dan Nadia, saya dan keluarga ucapkan takziah dan semoga Allahyarham Pn. Jamilah Bt. Johan ditempatkan di kalangan org-org yang solehah dan beriman. Al-Fatihah...

No comments: